Senin, 10 Maret 2014

Pulau Di Labuan Tempat Penyu Untuk Bertelur


LABUAN – Tiga pulau di barat daya Labuan telah dikenal pasti sebagai tempat persinggahan penyu untuk bertelur, sekali gus mampu dijadikan produk baharu pelancongan pulau bebas cukai ini.

Usaha sedang dilakukan bagi memastikan kawasan di tiga pulau itu – Kuraman, Rusukan Kecil dan Rusukan Besar, tidak dicemari dan terjejas dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang pemuliharaan hidupan marin akuatik.

Pengarah Jabatan Taman-Taman Laut Labuan Mohd Fazli Long berkata usaha pemuliharaan dan penjagaan kawasan berkenaan yang bermula kira-kira tiga tahun lalu kini dipertingkat bagi memastikan hidupan marin itu dilindungi.

“Pihak kami sentiasa memantau kawasan-kawasan ini bagi memastikan pulau-pulau ini terus menjadi tapak persinggahan dan penetasan penyu,” katanya kepada Bernama.

Taman Gugusan Pulau Kuraman merangkumi tiga buah pulau iaitu Kuraman, Rusukan Besar dan Rusukan Kecil dengan keluasan 1.47km persegi, adalah antara 32 pulau yang telah diwartakan.

Mohd Fazli berkata pelbagai usaha sedang dijalankan dalam memastikan hidupan marin itu terus terpelihara namun pelbagai cabaran juga dihadapi berikutan kurangnya kerjasama daripada pelbagai pihak.

Antara usaha itu ialah bekerjasama dengan penduduk kampung di pulau berkenaan dan berhampiran untuk sama-sama memulihara dan menjaga persekitaran kawasan persinggahan dan penetasan penyu itu, katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan kawasan-kawasan untuk penyu bertelur dan menetas.

“Bukan mudah untuk memastikan hidupan marin dipulihara tanpa kerjasama masyarakat khususnya yang menjadikan aktiviti laut sebagai sumber pendapatan atau sukan riadah. Pihak kami akan terus memainkan peranan dengan memberi kesedaran kepentingan penjagaan dan pemuliharaan hidupan marin untuk generasi akan datang,” katanya.

Antara spesies penyu yang mendarat di pantai Pulau Kuraman ialah penyu hijau atau agar yang nama saintifiknya, Chelonia mydas dan penyu karah atau nama saintifiknya Eretmochelys imbricata.

Pulau Kuraman yang kini dalam proses perwartaan sebagai Taman Laut Malaysia didiami lebih 80 keluarga pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Terdapat dua penempatan penduduk di Pulau Kuraman iaitu Kampung Warisan yang terletak di kawasan barat daya dan Kampung Singgahmata di bahagian timur laut.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMM) Datuk Yussof Mohammad berkata Labuan kini hanya mempunyai 10 ikon pelancongan yang dikatakan kurang memberi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara, seterusnya memberi impak kepada ekonomi Labuan.

“Yang ramai datang Labuan adalah pelancong transit yang datang hari ini dan pergi keesokannya hanya untuk berhibur dan bukan untuk menikmati keindahan semulajadi atau tertarik dengan 10 ikon pelancongan Labuan,” katanya. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar